Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 April. - Perdana Menteri Australia, The Honourable Anthony Albanese MP, serta rombongan, tiba di Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi Lawatan Kerja yang berlangsung selama dua hari pada 14 hingga 15 April 2026.
Sejurus ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, di sini, Perdana Menteri Australia, diberi penghormatan dengan Barisan Kawalan Kehormatan Statik yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Ketibaan Perdana Menteri Australia dialu-alukan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad selaku Menteri Pengiring; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; dan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin.
Menyertai rombongan Perdana Menteri Australia ialah Menteri Hal Ehwal Luar Australia, Senator the Honourable Penny Wong; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke NBD, Tuan Yang Terutama Michael Hoy; Secretary of the Department of the Prime Minister and Cabinet, Dr. Steven Kennedy PSM; Principal Adviser, International, Office of the Prime Minister, Rod Hilton; Deputy Secretary, South and Southeast Asia Group, Department of Foreign Affairs and Trade, Michelle Chan; dan First Assistant Secretary, International Division, Department of the Prime Minister and Cabinet, Dr. Lauren Bain.
Hubungan rapat NBD dan Australia telah lama terjalin sejak bulan Mei 1984, di mana kedua-dua buah negara bekerjasama secara meluas dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga, akuakultur dan pertanian serta pertahanan.